Selasa, 10 Juni 2008

'Demonstrasi VS Demokrasi tempang..!'

Demam demonstrasi datang lagi.Kemuncaknya menjelang pengumuman Pak Lah tentang kenaikkan harga minyak yang mengejutkan.Rakyat tanpa mengira pangkat dan kedudukan masing-masing mengeluh dan mengadu semakin terhimpit kehidupan mereka.Kerajaan yang memang sudah menjangkakan perkara ini masih boleh berlagak selamba seolah-olah langkah sumbang ini di sambut sorak-gembira oleh rakyat kebanyakan.

Lantaran keluhan dan rintihan mereka tidak diendahkan rakyat bangkit bersuara.Jalan alternatif yang masih ada ialah dengan ‘demonstrasi aman’.Tidak perlulah memujuk hati rakyat lagi supaya teguran-teguran dibuat melalui ‘saluran yang betul’ lantaran saluran itu sendiri sudah tersumbat dengan kerenah birokrasi.

Di Malaysia walaupun media-media pro kerajaan tidak memaparkan gambaran sebenar mengenai demonstrasi rakyat tapi ianya semakin mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.Rakyat yang celik terhadap kepincangan dan penyelewengan mengambil jalan ini agar suara mereka yang dikongsi bersama dapat diambil kira dengan cara yang lebih serius.

Demonstrasi bukanlah perkara baru dalam sistem demokrasi.Di barat dan eropah demonstrasi dilihat amat berkesan dalam memberi peringatan langsung pada kelekaan kerajaan.Kerajaan mereka pula walaupun ‘takut’ dengan perkara sebegini tapi ruang untuk rakyat berhimpun dan menyuarakan pendapat tidak dihalang.Apa yang nyata demokrasi dukungan barat tidak seiring dengan demokrasi celup ala Malaysia.


Di Malaysia menjadi satu ke’pantang’an bagi kerajaan jika rakyat berhimpun sebegitu.Tatkala didengar tentang perhimpunan rakyat akan berlangsung maka berduyun-duyunlah anggota keselamatan turun untuk menggasak dan menakutkan mereka.Berbagai cara dilakukan untuk menyekat hak rakyat ini sama ada melalui tangkapan,ugutan,provokasi sehinggalah ke isu permit.

Berlindung di sebalik anggota keselamatan kerajaan tanpa segan-silu menghalalkan pembantaian dan tangkapan terhadap para peserta demonstrasi.Air asid,gas pemedih mata,dibelasah dengan cota mahupun diterajang sudah menjadi kebiasaan.Mulut rakyat perlu ditutup rapat dan hanya perlu didengar menjelang pilihanraya.

Itulah realitinya sehingga kini walaupun telah mendapat mesej yang jelas dalam pilihanraya yang lalu.Sepatutnya pihak anggota keselamatan perlu tahu bahawa rakyat bukan ingin membuat rusuhan dan berbunuh-bunuhan,mereka Cuma ingin suara dan kehendak mereka didengar kerana sebagai rakyat yang sah di negara ini kerajaan mesti mengambilkira pandangan rakyat.Tidak semestinya apabila mereka menang dengan majoriti dalam pilihanraya menjadi tiket untuk berbuat sesuka hati tanpa mempedulikan kebajikan rakyat.

Kita cuma boleh berharap agar selepas ini kerajaan mahupun pihak keselamatan tidak lagi menyekat atau melakukan sebarang provokasi terhadap perhimpunan aman yang dianjurkan.’Suara rakyat suara keramat’ dan kerajaan perlu bertolak-ansur terhadap rakyat.Semoga negara kita maju selangkah lagi ke hadapan dan meninggalkan nostalgia ‘demokrasi tempang’ yang telah menjadi cemuhan dalam sistem demokrasi.


Jemohid kecil..

0 komentar:

kami mengalu-alukan jika ada sahabat yang ingin mengambil sebarang artikel dari blog ini...

Create your own banner at mybannermaker.com!

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP